Majlis Tertinggi UMNO telah menasihati Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersara secara sukarela, segera dan terhormat. Jika tidak, kemungkinan besar Abdullah akan disingkirkan oleh majoriti bahagian UMNO yang memulakan perwakilan bahagian masing-masing pada 10 Oktober 2008.
Lantaran itu, Abdullah dijangka mengumumkan tarikh persaraannya daripada siasah dan kerajaan dalam tempoh terdekat ini demi agama, bangsa dan tanahair, selewat-lewatnya pada 9 Oktober 2008.
Nasihat di atas telah disampaikan oleh Majlis Tertinggi UMNO kepada Abdullah dalam mesyuaratnya pada 18 September 2008.
Ini kerana persidangan perwakilan UMNO bahagian kali ini akan menamakan calon-calon pucuk pimpinan tertinggi parti yang akan dipertandingkan pada Disember 2008.
Jika Abdullah enggan berundur, beliau dijangka menghadapi risiko tidak memperolehi kuota secukupnya untuk mempertahankan kerusi Presiden UMNO yang disandangnya ketika ini.
Ambil Risiko
Sekelompok orang Abdullah mungkin akan mendesak Abdullah untuk bertahan, mengambil risiko dan tidak bersara. Kelompok ini dikatakan rela menabur wang berjuta-juta ringgit nilainya semata-mata untuk mempertahankan kedudukan Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Dalam konteks ini, seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO memberitahu blog ini, mainan politik wang ini tidak mungkin berlaku. Ini kerana kini sudah wujud sebuah badan pemantau bebas yang bergerak secara rahsia untuk menggagalkan kemungkinan berkenaan.
Katanya, pelbagai projek di beberapa koridor pembangunan yang ditawarkan oleh sesetengah pihak kepada segolongan ketua-ketua bahagian sebelum ini pun sudah tidak lagi diyakini oleh pihak terbabit bila ekonomi dunia mula meredum dan Kementerian Kewangan pula diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi pula menyatakan kepada blog ini bahawa nasihat yang disampaikan kepada Abdullah pada 18 September 2008 adalah satu ledakan gelombang perubahan yang serius. Gelombang ini akan meledak jadi tsunami siasah jika Abdullah mengengkari nasihat berkenaan.
Maka, katanya, terserahlah kepada Abdullah untuk mengartikulasikan nasihat Majlis Tertinggi. Jika Abdullah mahu mengambil risiko, Abdullah dijangka terkapai-kapai seorang diri dan akhirnya menjadi mangsa kepada tsunami siasah yang meledak daripada peringkat bahagian.
Abdullah Sedar
Ahli Majlis Tertinggi ini mengesahkan posting oleh beberapa bloggers tempatan yang mengatakan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 18 September 2008 adalah hangat dan decisive. Beliau juga mengakui bahawa sebilangan besar anggota kanan Majlis Tertinggi UMNO rata-rata menasihati Abdullah bersara secara terhormat dan dengan segera.
Sebab itulah agaknya Abdullah dipetik oleh Bernama 18 September 2008, sebagai berkata bahawa “sebarang keputusan berkaitan kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan juga peralihan kuasa akan dibuat oleh beliau sendiri.”
Muhyiddin kini suara popular dalam UMNO di Petik dari malaysia Aktif
Bashir Ahmad
15 September 2008
DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi sungguh kecewa dengan kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yasin supaya beliau memikirkan semula peralihan kuasa yang dijadualkan pada pertengahan 2010.
Ada desakan supaya Abdullah bertindak terhadap Muhyiddin, tetapi beranikah beliau mengambil tindakan terhadap Naib Presiden UMNO itu yang kelihatan semakin tegas dalam pendiriannya?
Muhyiddin dalam percakapan terbaru dengan wartawan hari ini berkata beliau menyerahkan kepada Abdullah bagi menentukan kedudukannya sama ada untuk mengekalkannya atau menggugurkan beliau daripada Kabinet.
Menurutnya, beliau secara peribadi tidak akan meletakkan jawatan berikutan kenyataannya sebelum ini yang mahukan tempoh peralihan kuasa disingkatkan.
``Saya berhak untuk bersuara bagi menyampaikan pandangan di peringkat akar umbi yang mahukan tempoh peralihan ini disegerakan.
``Ini selaras dengan prinsip demokrasi dalam parti yang tidak menghalang sesiapa untuk bersuara, lagipun kenyataan saya sebelum ini bukan mendesak Perdana Menteri meletak jawatan, sebaliknya hanya mahukan beliau memikirnya semula tempoh peralihan yang lebih sesuai dan oleh diterima oleh ahli parti,’’ katanya kepada pemberita selepas melancarkan Anugerah Usahawan Wanita kebangsaan 2008 di Kuala Lumpur hari ini.
Muhyiddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau menyokong saranan Timbalan Presiden Parti, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan mesyuarat bahagian UMNO menentukan tempoh peralihan kuasa berkenaan.
Jika Abdullah memecat Muhyiddin, sudah pasti beliau meletakkan dirinya dalam keadaan yang lebih goyah sebagai Presiden UMNO. Pandangan Muhyiddin adalah pandangan yang popular dalam UMNO ketika ini.
Tentulah beliau amat memahami kenyataan terbaru Najib yang buat pertama kalinya secara terbuka menyerahkan perkara tersebut kepada bahagian-bahagian, bukan lagi perkara yang hanya boleh ditentukan oleh beliau dan Pak Lah.
Desakan Muyiddin dan pendirian Najib telah memberikan anjakan baru kepada isu peralihan kuasa antara Pak Lah dan Najib yang reda seketika setelah kedua-dua pemimpin itu bersetuju ia dilakukan pada pertengahan 2010. Tapi Muhyiddin telah menyebabkan luka berdarah semula.
Nampaknya Pak Lah kena mengkaji semula tarikh yang diumumkannya jika beliau tidak sanggup mengambil tindakan terhadap Muhyiddin yang terang-terang telah hilang hormat terhadapnya.
Atau beliau boleh memilih untuk mendiamkan diri dan menunggu Perhimpunan Agung UMNO yang menjelang tiba hanya beberapa bulan sahaja lagi. – malaysiaaktif
19 September, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment