14 November, 2008

Politik wang - UMNO gagal didik ahli


Print E-mail
Monday, 10 November 2008

ImageMUDAH saja orang sebut pasal politik wang di mana-mana. Lebih buruk lagi apabila selain daripada menceritakan politik wang, beberapa nama ahli politik dikaitkan sama. Kononnya, semua calon yang mendapat pencalonan baru-baru ini membeli pencalonan dengan wang. Harga yang disebutkan pula bukan sedikit. Bayangkanlah kalau satu Bahagian dapat RM30,000, bagaimanalah pula banyaknya untuk calon menghabiskan untuk 50 bahagian. Lebih lagi kalau meliputi 191 Bahagian.

Banyak sangat ke duit calon yang merebut jawatan? Kalau dikira calon untuk Timbalan Presiden UMNO sudah menjangkau berjuta-juta ringgit, bagaimana pula dengan Naib Presiden dan Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Bahagian. Sampaikan tuduhan bermain dengan politik wang ini juga berlaku di peringkat cawangan.

Apakah juga kalau tak beri wang, UMNO tidak akan ada calon untuk bertanding jawatan pula? Atau memang jawatan dalam UMNO mesti kena beli? Dahsyat betul kalau semua ini benar! Dan apakah nilai-nilai yang ada di tangan pemimpin kita yang ‘membeli’ kemenangan hari ini tidak ada nilai kepimpinan langsung?

Peliknya pula, dalam pertandingan Wanita dan Puteri, tidak ada pula yang menyebut pasal politik wang. Apakah wanita tidak perlu wang atau mereka memang sentiasa bersifat jitu dalam pemilihan masing-masing? Atau apakah mereka dijanjikan dengan intan berlian di gedung-gedung barang-barang kemas popular untuk menggantikannya dengan wang?

Katanya Jawatankuasa Disiplin UMNO pun naik pening nak ‘cekup’ orang yang bermain dengan politik wang hingga hilang kaliber terpaksa meminta khidmat BPR menyiasat kes politik wang yang dilapur hingga hampir 1000 dari pelbagai pihak.

Setahu ramai, orang yang melaporkan politik wang ini adalah dari pihak yang kalah sahaja. Yang menang tak perlu buat laporan apa-apa. Politik wang boleh dicipta kalau pelapor itu diupah pula untuk membuat laporan terhadap si polan yang tidak disukai atas dasar sakit hati dan sengaja dengki.

Katanya juga selain dari berlegar cerita politik wang, yang kena tipu pun ramai. Wang diambil, tetapi pencalonan tidak juga dapat. Ada yang memberi atas dasar upah penat lelah pun termasuk juga dalam kategori politik wang. Ini juga satu perkara yang memeningkan Jawatankuasa Disiplin.

Nampaknya, kewujudan Jawatankuasa Disiplin sangat bertumpu kepada kerja menerima, mengumpul, berbincang, menyiasat kes politik wang sahaja, sedangkan disiplin parti tidak hanya kepada politik wang. Biadab, ingkar arahan, mencemar nama baik parti dan sebagainya juga tergolong dalam erti kata disiplin yang perlu dilihat sama.

Dikatakan begitu kerana Jawatankuasa Disiplin hanya dilihat berfungsi ketika musim pemilihan sahaja. Kalau tidak ada pemilihan, jawatankuasa ini bagaikan tidak berfungsi. Kalau ada pun, hanya apabila sudah ada desakan dan sudah heboh baru mereka bertindak. Cara jawatankuasa ini bergerak tidak benar-benar membawa hasrat sebenar dalam perjuangan UMNO.

Zaman dulu, UMNO bergerak tidak perlu pun jawatankuasa disiplin. Yang perlu rasanya ialah jawatankuasa disiplin ini menganjur kursus kepada pemimpin-pemimpin UMNO supaya sentiasa berdisiplin menjalankan tugas sukarela demi kepentingan bangsa. Hanya dengan cara ini sahaja jawatankuasa disiplin dapat membendung politik wang yang dapat diserapkan dalam kursus-kursus serta sentiasa memberi peringatan bertulis tentang apa yang mereka rasa perlu disampaikan kepada ahli UMNO dalam bentuk pendidikan.

Orang UMNO tidak dididik, tetapi dikawal dengan tindakan disiplin. Keseimbangan ini perlu difikirkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau di endos jadi Presiden bulan Mac akan datang. Waktunya masih sempat untuk kita ke arah mendidik. Orang politik yang hanya mendapat pendidikan dari institusi persekolahannya sahaja tidak cukup untuk menjadi politikus yang baik kerana dalam politik juga kena ada satu unit atau cabang yang mendidik.

Hingga sekarang, majoriti orang UMNO tidak boleh menghafal perlembagaan seperti kita perlu hafal sifir, hafal Yassin, hafal undang-undang misalnya. Ini perkara malang dalam parti.

No comments: