05 December, 2008

Tanah runtuh di bukit antarabangsa

  • LAGI GAMBAR TANAH RUNTUH BUKIT ANTARABANGSA (SIRI I)
    ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat mengesan mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh. - foto The Star oleh ABDUL RAHMAN SENIN
    PENDUDUK kawasan sekitar melihat lokasi tanah runtuh. - foto The Star oleh ABDUL RAHMAN SENIN

    TUMPUAN orang ramai di kawasan kejadian. - foto The Star oleh ABDUL RAHMAN SENIN

    Bapa temui anak maut pegang telefon bimbit
    MUSNAH... Beginilah keadaan rumah-rumah banglo di satu daripada dua taman perumahan di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dekat Kuala Lumpur awal pagi ini, yang rosak teruk akibat tanah runtuh. Rumah-rumah banglo yang tertimbus itu melibatkan lapan unit di Taman Bukit Utama dan enam unit di Taman Bukit Mewah. Kejadian turut menyebabkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus-ratus orang terperangkap. -fotoBERNAMA

    KUALA LUMPUR: "Masa kejadian pukul 3 lebih itu saya terdengar anak saya memekik dan berkata rumah kami bergegar dan bergerak. Ketika gelongsoran pertama saya masih terdengar suaranya, sehinggalah gelongsoran yang ketiga," kata bapa kepada seorang mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di sekitar Bukit Antarabangsa pagi tadi.

    Datuk Shahrudin Adnan, 63, berkata, anak bongsunya dari dua orang adik-beradik itu, Shaiful Khas Shahrudin, 20, dipercayai tertimbus selepas runtuhan ketiga di banglo dua tingkat mereka.

    DATUK Sharudin Adnan bersama anaknya, Noreennur, 19, ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur. - foto The Star oleh AZMAN GHANI

    "Saya menggunakan telefon bimbit untuk mengesan anak saya yang tertimbus. Shaiful kemudiannya ditemui dengan tangannya yang sejuk dan masih memegang telefon bimbit, dan dia disahkan telah meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur hari ini.

    Shaiful Khas adalah antara tiga orang yang dilaporkan terkorban setakat 10.30 pagi tadi dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama pada 4 pagi tadi.

    Shahrudin berkata, beliau bersama isteri dan seorang anak saudara mereka berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui bumbung.

    "Penghuni di apartmen hadapan rumah kami menghubungi polis dan bomba. Bila bomba sampai baru saya dapat mengesan anak saya melalui deringan telefon bimbit yang dipegangnya ketika itu," katanya.

    Beliau berkata malam tadi, anaknya memberitahu dia mahu tidur di tingkat bawah sementara beliau sendiri bersama isterinya serta anak saudara mereka itu tidur di tingkat atas.

    Beliau berkata, kejadian mungkin berpunca daripada projek perumahan yang terbengkalai di atas bukit sejak 10 tahun lepas.

    "Ada enam unit rumah di atas, mungkin disebabkan tidak dapat menahan unit rumah tersebut, menyebabkan runtuhan tanah berlaku," katanya yang menginap di situ sejak 13 tahun lepas.

    Katanya sebelum ini berlaku gegaran kecil pada bukit itu tetapi disangka berlaku kejadian lebih buruk seperti hari ini.

    Seorang doktor haiwan, S. Yogeswari, 40, turut maut semasa cuba menyelamatkan anaknya Thidesh, 10, dalam suasana gelap di rumah mereka akibat terputus bekalan elektrik.

    Bagaimanapun suami mangsa, yang hanya dikenali sebagai Thanarajah, 40, berjaya menyelamatkan anaknya itu tetapi gagal menyelamatkan Yogeswari.

    Thanarajah, seorang jurutera berkata dalam keadaan panik itu, beliau turut sempat menyelamatkan dua lagi anaknya, Avinesh, 11, dan Priyanka, 3.

    "Saya masuk semula ke dalam rumah untuk selamatkan anak saya yang berusia 10 tahun (Thidesh), dan bila saya masuk kali ketiga untuk menyelamatkan isteri saya, saya terperangkap di dalam rumah," katanya kepada pemberita dalam keadaan sedih di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

    Kesemua anaknya cuma cedera ringan dan kini dirawat di HKL, katanya.

    Thanarajah berkata ketika kejadian, rumahnya yang agak hampir dengan kaki bukit bergegar sebelum lantai rumah mereka mengelongsor.

    "Waktu itu saya tengah tidur, kemudian terdengar bunyi dentuman kuat berhampiran bukit. Saya selamatkan anakanak, namun ketika saya hendak menyelamatkan isteri saya, saya terperangkap di dalam rumah dan kemudian diselamatkan oleh bomba," katanya yang cedera di tangan. BERNAMA

    Mangsa: "Dengar bunyi letupan pukul 3.45 pagi"

    MANGSA kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa, Datin Jamilah Mohd. Kassim ditenangkan oleh anggota keluarga di Hospital Kuala Lumpur. - foto The Star oleh AZMAN GHANI

    [DIKEMAS KINI, 1.40 tengah hari] KUALA LUMPUR: Salah seorang mangsa kejadian tanah runtuh bukit Antarabangsa awal pagi ini, Hare Zainul berkata, beliau mendengar bunyi seperti letupan kuat ketika sedang mengikuti siaran televisyen kira-kira pukul 3.45 pagi tadi.

    Katanya, ia disusuli dengan gangguan bekalan elektrik secara tiba-tiba.

    "Saya rasa panik dan mengejutkan kesemua 10 anggota keluarga saya dan kami keluar guna pintu depan... apabila keluar, saya juga mendapati jiran-jiran pun sudah keluar.

    "Mereka juga tidak tahu apa yang berlaku.

    SEORANG lagi mangsa tragedi K.Thanarajah di Hospital Kuala Lumpur. foto The Star oleh AZMAN GHANI

    "Apabila saya membuka pintu pagar, saya nampak timbunan tanah runtuh di depan rumah saya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian sebentar tadi.

    Keluarganya tinggal di rumah mereka di kawasan itu, di Taman Bukit Mewah, sejak tujuh tahun lalu.

    Hare, 35, berkata, ini merupakan pengalaman pertama bagi mereka di kawasan tersebut.

    Hare menambah, ketika beliau sedang berbual-bual dengan jiran mengenai apa yang berlaku, rumah jirannya itu runtuh.

    "Sebahagian rumah saya juga runtuh. Kemudian rumah jiran dan empat buah rumah yang lain jatuh keseluruhan.

    "Tapi saya tidak tahu mengenai jiran-jiran yang lain kerana maklumlah pada masa itu semuanya mesti sedang tidur nyenyak," katanya.

    Sebentar tadi, polis mengesahkan mangsa korban tanah runtuh di kawasan Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dekat sini setakat ini ialah dua orang melibatkan seorang ibu dan anaknya.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang berada di tempat kejadian berkata 93 mangsa dalam kejadian tanah runtuh yang menimbus 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama di kawasan Bukit Antarabangsa itu berjaya menyelamatkan diri.

    LAGI KOMEN MANGSA

    Seorang lagi saksi Hassan Saad berkata, beliau mendengar bunyi seakan-akan ribut dan diikuti dengan bunyi letupan sebelum kejadian tanah runtuh.

    Hassan, 48, berkatam semasa sedang menonton televisyen di ruang tamunya pada pukul 4 pagi tadi, beliau tiba-tiba terdengar bunyi bagaikan ribut lalu menjenguk ke luar rumahnya dan melihat keadaan tenang dan pokok-pokok di situ tidak bergoyang.

    Ahli perniagaan itu kembali menonton televisyen sebelum tiba-tiba terdengar bunyi seperti bom meletup dan terus bergegas ke luar rumahnya, dan melihat runtuhan tanah dari bukit menghempap rumah jirannya yang terletak di depan rumahnya.

    Hassan berkatam beliau terus menjerit membangunkan keluarganya yang seramai 10 orang termasuk ibu mentua dan dua sepupunya serta jiran-jirannya supaya menyelamatkan diri.

    Hassan yang tinggal di kawasan itu sejak 15 tahun lepas berkata ini adalah kejadian yang pertama kali berlaku di kawasan itu.

    "Pada bulan lepas, lapan batang pokok tumbang di lereng bukit kira-kira 20 meter dari belakang rumah saya dan saya maklumkan kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

    "Mereka telah datang dan memotong pokok-pokok itu. Saya ingat semua ok," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

    BUNYI DENTUMAN

    Sementara itu, Lian Wan Jian dari Taman Bukit Mewah berkata beliau terdengar dua bunyi dentuman yang kuat dan menyangka berlaku gempa bumi.

    Pada masa kejadian, ahli perniagaan itu masih belum tidur tetapi isteri dan dua anak lelakinya sedang nyenyak tidur dan bunyi dentuman itu telah mengejutkan mereka.

    Ketika membuka pintu rumah untuk menyelamatkan diri, Lian berkata beliau dan keluarganya ternampak pergerakan tanah yang menolak kereta hingga "terangkat" tinggi, dan merasakan rumah mereka bergerak ke arah rumah jiran.

    Bagaimanapun, mereka sekeluarga dapat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

    "Mungkin rumah kami di bahagian hujung, mungkin sebab itu kami dapat menyelamatkan diri," katanya yang ditemui di pusat penempatan mangsa di surau Addinniah, Taman Bukit Mewah.

    Sementara itu, bapa mentua mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chong berkata, menantu perempuan dan cucunya yang baru berusia dua bulan dijumpai mati tertimbus, sementara anak lelakinya setakat pukul 9 pagi ini masih dilaporkan tertimbus.

    Chong berkata, malam tadi beliau telah datang melawat anak dan menantunya, dan kembali ke rumahnya pada pukul 11 malam tadi, dan awal pagi ini jiran anaknya telah menelefonnya dan memaklumkan rumah anaknya ranap.

    KELAM KABUT

    Keadaan di kawasan itu agak kelam-kabut dengan beratus-ratus penduduk di kawasan perumahan itu tidak dapat keluar kerana satu-satunya jalan menghubungkan kawasan itu telah dipenuhi dengan jengkaut, bomba, ambulans dan trak serta pasukan keselamatan yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat.

    Sementara itu, jalan di kawasan itu penuh sesak apabila penduduk di kawasan itu pula beramai-ramai cuba melarikan diri dari kawasan itu.

    2 disah maut tanah runtuh Bukit Antarabangsa

    14 banglo di Taman Bukit Mewah, Bukit Utama tertimbus

    LOKASI tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dekat Kuala Lumpur awal pagi ini. - foto The Star NADZRIN MOHD ALIM

    [DIKEMAS KINI, 10 pagi] KUALA LUMPUR Polis mengesahkan mangsa korban tanah runtuh di kawasan Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dekat sini setakat ini ialah dua orang melibatkan seorang ibu dan anaknya.

    Seramai 93 mangsa dalam kejadian tanah runtuh yang menimbus 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama di kawasan Bukit Antarabangsa itu berjaya menyelamatkan diri.

    Ia disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang berada di tempat kejadian.

    Banglo yang tertimbus itu melibatkan lapan unit banglo di Taman Bukit Utama dan enam unit di Taman Bukit Mewah.

    Salah sebuah banglo terlibat ialah milik Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Mohamed, Thajudeen Abdul Wahab.

    Sebelum itu, jurucakap Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang berada di tempat kejadian, yang dipetik Bernama berkata, terdapat empat mangsa korban dalam insiden kirakira 4 pagi itu.

    PBSM juga melaporkan 15 orang yang dilaporkan cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan.

    Kejadian tanah runtuh itu telah mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa.

    Menurut bomba dan penyelamat, tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada pergerakan air dalam tanah.

    Pihak tentera, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Bomba dan Penyelamat dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini sedang giat menjalankan kerja menyelamat.

    Mangsa insiden termasuk yang mengalami kecederaan menerima rawatan di surau Addinniah sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan dengan tidak kurang daripada 12 ambulans.

    Ahli Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali turut melawat tempat kejadian berkata pergerakan tanah masih berlaku dan bekalan elektrik di beberapa kawasan perumahan di Bukit Antarabangsa terputus.

    BERITA TERDAHULU

    Tanah runtuh Bukit Antarabangsa, 4 maut

    KUALA LUMPUR: Empat terkorban manakala lebih daripada lapan orang dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh 4 pagi yang menyebabkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama di kawasan Bukit Antarabangsa dekat sini, tertimbus.

    Empat mayat yang ditemui melibatkan tiga wanita dan seorang lelaki, demikian menurut jurucakap Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang berada di tempat kejadian.Kirakira 15 orang pula dilaporkan cedera dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan.

    Banglo yang tertimbus itu melibatkan lapan unit banglo di Taman Bukit Utama dan enam unit di Taman Bukit Mewah, demikian menurut jurucakap bomba dan penyelamat yang berada di tempat kejadian.

    Salah sebuah banglo terlibat ialah milik Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

    Kejadian tanah runtuh itu telah mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa.

  • 8 maut, 14 banglo tertimbus di Ampang

    KUALA LUMPUR: 8 orang dikuatiri maut apabila 14 banglo tertimbus dalam kejadian tanah runtuh paling dahsyat di Jalan Bukit Mewah dan Jalan Mewah Utama di Bukit Antarabangsa, Ampang, kira-kira jam 4 pagi tadi. [+] 08:54 AM

No comments: