Anwar dilucutkan jawatan
2 Sept.1998 - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilucutkan jawatannya pada hari ini dalam tahun 1998 sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, selepas 16 tahun empat bulan berada dalam kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.
Kenyataan tiga perenggan Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan tepat pukul 8 malam tersebut mengumumkan, perlucutan jawatan tersebut yang berkuat kuasa pukul 5.30 petang 2 Sept. 1998 itu didakwa telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Anwar, yang genap 51 tahun pada 10 Ogos 1998, menerima surat perlucutan jawatan itu pada pukul 7.05 malam di kediamannya yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman rasmi Perdana Menteri, Sri Perdana di Jalan Damansara.
Surat itu disampaikan oleh beberapa orang pegawai polis yang dilihat memasuki kediaman Anwar kira-kira pukul 7 malam. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor turut kelihatan berada di situ.
Majlis Tertinggi UMNO akan mengadakan mesyuarat khas dan ia dijangka membincangkan kedudukan Anwar selaku Timbalan Presiden parti itu.
Dalam kenyataan akhbarnya, Jabatan Perdana Menteri tidak mengumumkan calon yang akan mengisi kekosongan yang wujud berikutan pemecatan Anwar. Bagaimanapun Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin dilantik semula sebagai Menteri Kewangan. Daim adalah Menteri Kewangan dari tahun 1983 hingga 1991.
Beberapa minggu sebelum pemecatan ini, khabar angin telah tersebar luas dalam komuniti kewangan di ibu kota dan di kalangan para pemimpin politik bahawa Anwar telah diminta meletakkan jawatan, tetapi beliau enggan berbuat demikian.
Kediaman Anwar di sini mula didatangi oleh beberapa kumpulan ahli UMNO - termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi - selepas tengah hari dan menjelang malam, kawasan itu dikawal oleh anggota-anggota polis. Dianggarkan beribu-ribu penyokong Anwar berada di kediamannya malam tersebut.
Menurut beberapa orang pemerhati, apabila Anwar menerima surat perlucutan jawatannya, beliau membawa surat itu ke tingkat atas kediamannya. Ahmad Zahid kemudian mengumumkan kepada mereka yang berada di rumah itu bahawa Anwar baru sahaja menerima surat pemecatan.
Dalam beberapa bulan kebelakangan dari pemecatan ini, sudah tiga kali Anwar menafikan akan meletakkan jawatan walaupun terdapat desas-desus mengatakan beliau telah tidak sehaluan dalam banyak hal dengan anggota-anggota kabinet lain.
Dr. Mahathir juga memberitahu bahawa beliau akan menerima peletakan jawatan Anwar jika Anwar mengemukakan alasan yang kukuh untuk berbuat demikian. Kata Dr. Mahathir: ''Jika beliau memberi alasan yang kukuh mengapa beliau harus meletakkan jawatan, saya akan terima.''
Kebangkitan Anwar - daripada seorang aktivis pelajar tahun 60-an, mengetuai kumpulan pendesak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 70-an dan kemudian menjadi pemimpin politik generasi baru dalam UMNO pada dekad 80-an dan 90-an - merupakan satu sensasi dalam politik Malaysia.
Beliau ialah Timbalan Perdana Menteri yang ketiga yang tersingkir sepanjang 18 tahun Dr. Mahathir memimpin kerajaan. Sebelum ini, Datuk Musa Hitam dipaksa meletakkan jawatan pada tahun 1986. Ghafar Baba pula menjadi Timbalan Perdana Menteri dari tahun 1986 hingga 1993, sebelum kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dicabar oleh Anwar pada pemilihan UMNO tahun 1993.
Anwar menjadi harapan rakyat negara ini sebagai pengganti Dr. Mahathir sebelum desas-desus tersebar di kalangan ahli-ahli UMNO dan pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) berhubung pengaruhnya yang semakin merosot dalam kerajaan dan keretakan hubungan beliau dengan Perdana Menteri.
Beberapa hari sebelum peristiwa ini, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Mohamed Don yang dikatakan mendapat sokongan Anwar meletakkan jawatan selepas tidak bersetuju dengan polisi drastik pengawalan mata wang dan kawalan modal yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir.
Anwar mempunyai sejarah politik yang berwarna-warni dalam UMNO iaitu parti yang merupakan tulang belakang Barisan Nasional. Beliau mengumumkan penyertaan aktifnya dalam UMNO pada 29 Mac 1982 dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di Jabatan Perdana Menteri di hadapan Dr. Mahathir sendiri. Anwar mengumumkan beliau memasuki UMNO ''kerana kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad''.
Bekas aktivis pelajar yang pernah dipenjarakan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Anwar yang ketika itu berusia 35 tahun bertanding buat pertama kali dalam pilihan raya umum 1982 atas tiket Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Pada pilihan raya itu beliau menumpaskan calon Pas dan DAP dengan majoriti 14,352 undi dan selepas pilihan raya umum itu, beliau terus dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Selepas itu, beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan (1983), Menteri Pertanian (1984), Menteri Pendidikan (1986), Menteri Kewangan (1991) dan Timbalan Perdana Menteri (1993).
Di dalam UMNO, Anwar mendaki tangga kekuasaan dengan menjadi Ketua Pemuda UMNO (1982-1987), Naib Presiden (1987-1993) dan Timbalan Presiden (1993 hingga beliau dipecat 2 September 1998).
14 December, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment