05 December, 2008

Clinton Puji Malaysia


KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Bekas presiden Amerika Syarikat Bill Clinton memuji Malaysia dengan mengatakan dunia akan menjadi tempat lebih baik jika ia mencontohi toleransi sosial dan keharmonian negara ini.

"Malaysia adalah model menunjukkan ada harapan untuk masa depan. Masyarakat di sini yang pelbagai kaum, agama dan latar belakang telah belajar untuk bekerja dan hidup bersama. Inilah yang dunia perlu jadi," katanya.

Presiden AS ke-42 itu, yang menerajui pentadbiran AS dari 1992-2000, berkata demikian pada syarahan BC Sekhar Memorial Lecture bertajuk "Embracing our Common Humanity" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

BC Sekhar Memorial Lecture diwujudkan sebagai penghargaan kepada Tan Sri Dr B.C. Sekhar, disifatkan sebagai ikon dalam industri perladangan, yang meninggal dunia pada 6 Sept, 2006 pada usia 77 tahun.

Clinton berkata Malaysia telah membuat permulaan yang baik dan walaupun terdapat beberapa konflik politik di dalam negara, ia tahu bagaimana untuk mengatasinya demi kebaikan negara.

"Konflik politik adalah baik. Tiada siapa pun yang betul sepanjang masa. Adalah sesuatu yang sihat apabila terdapat perbezaan pendapat," kata Clinton, yang pertama kali melawat Malaysia.

Sebagai contoh, Clinton berkata semasa lawatannya ke Taman Burung di sini pagi ini, wanita Islam yang bertudung datang dan bersalam dengannya, bertanya keadaan beliau dan menyatakan kedatangannya ke Malaysia dialu-alukan.

"Saya rasa seronok. Alangkah baik jika semua negara mempunyai suasana seperti ini. Ekonomi, agama malah sains memberitahu kita bahawa manusia tidak mempunyai pilihan, selain daripada hidup bersama dan jika kita boleh melakukannya, kita akan mempunyai dunia yang lebih baik," katanya.

Menyentuh mengenai krisis ekonomi global pada masa ini, beliau berkata ia hanya menunjukkan negara-negara di dunia terlalu bergantung antara satu sama lain, malah negara kuasa besar seperti AS tidak boleh "lepas dari negara lain".

"Dunia kini perlu mengubah cara berfikir. Definasi kejayaan perlu diubah dari situasi menang-kalah kepada menang-menang. Kita mesti bersedia untuk membantu yang lain," katanya.

Beliau berkata Malaysia perlu melihat kepada tindakan tepat yang diambilnya semasa krisis ekonomi global pada 1997-1998 dan walaupun tiada yang tidak kena pada ekonomi negara ketika itu, ia turut merasai kesannya dan ini menunjukkan sejauh mana dunia bergantung antara satu sama lain.

Menyentuh mengenai pemilihan Barack Obama sebagai presiden AS ke-44, Clinton berkata pemilihan presiden pertama Afrika Amerika itu menunjukkan perbezaan yang ada di negara berkenaan.

"Kehidupan lebih menarik. Pemilihan Obama adalah satu pernyataan. Ia baik untuk semua, bukan sahaja rakyat Amerika tetapi juga dunia keseluruhannya," katanya.

Clinton berkata beliau berharap pentadbiran baru akan melaksanakan obligasi globalnya dalam semua lapangan yang diperlukan dan memastikan "negara kaya membantu negara miskin di dunia".

-- BERNAMA

No comments: