Kerajaan Sasar Hasilkan Tiga Juta Lembu Menjelang 2015
RANTAU PANJANG, 14 Dis (Bernama) -- Kerajaan mensasarkan mampu mengeluarkan tiga juta ekor lembu untuk pasaran dalam negara terutamanya menjelang 2015 bagi mengurangkan kebergantungan terhadap lembu yang diimport.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berkata jumlah sebanyak tiga juta ekor itu penting bagi menampung keperluan pengguna memandangkan jumlah ternakan lembu dan kerbau di seluruh negara hanya 700,000 ekor sahaja.
"Tidak dinafikan negara kini banyak bergantung kepada lembu import terutamanya dari negara jiran kerana bekalan yang tidak mencukupi ditambah pula dengan lembu tempatan jenis Kedah-Kelantan yang bersaiz kecil," katanya kepada pemberita selepas melawat kandang ternakan lembu EP Marketing di sini, hari Ahad.
Mustapa berkata penternak lembu juga perlu mengambil langkah jangka panjang dengan menghasilkan baka bermutu daripada lembu-lembu yang diimport supaya negara juga mampu menghasilkan lembu yang lebih berkualiti terutamanya daripada segi saiz.
"Jika dilihat saiz lembu import ini besar antara 450 dan 500 kilogram seekor berbanding lembu tempatan hanya kira-kira 250 kilogram," katanya.
Beliau berkata lembu tempatan kini hanya menyumbang kira- kira 24 peratus sahaja keperluan daging tempatan.
Mengulas mengenai kegiatan penyeludupan haiwan ternakan terutamanya lembu, beliau tidak menafikan perkara itu agak serius dan memerlukan tindakan tegas.
"Kita akan terus meningkatkan kawalan di pintu-pintu masuk negara bagi memastikan haiwan ini dikuarantin supaya ia tidak menjejaskan haiwan ternakan tempatan," katanya.
Mustapa berkata undang-undang penguatkuasaan berkaitan kegiatan penyeludupan haiwan ternakan juga perlu dikaji semula memandangkan banyak perkara yang kurang relevan.
"Kita tengah kaji dan mungkin tahun depan undang-undang berkenaan akan diubah,' katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment