Perkembangan terbaru lebih sejam selepas polis sah tiada lagi mangsa dilapor hilang
BANTUAN... Anggota pasukan Bomba dan Penyelamat menggunakan bantuan anjing dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang hari ini. Kira-kira 500 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Polis, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan Angkatan Tentera Malaysia berada di kawasan kejadian bagi membantu usaha-usaha mencari, menyelamat serta membersihkan runtuhan. - fotoBERNAMA
LOKASI tragedi tanah runtuh yang berlaku awal pagi semalam. Gambar ihsan PDRM
ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat meneruskan operasi sepanjang malam tadi. - foto The Star oleh KEVIN TAN [DIKEMAS KINI, 1.30 tengah hari] KUALA LUMPUR: Selepas lebih sejam polis mengesahkan tiada lagi mangsa terperangkap atau maut dalam tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, maklumat terkini menyebut satu lagi mangsa dikesan masih berada dalam timbunan tanah.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Soiman Jahid berkata, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi unit anjing pengesan pihaknya telah mengenal pasti ada satu mangsa dikesan.
Mangsa berkenaan berada di rumah bernombor 3 dan 4.
"Kini kerja-kerja menggali lubang sedang dijalankan," katanya di tempat kejadian.
LOKASI tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa terus menjadi tumpuan orang ramai malam tadi.Perkara itu turut disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sebentar tadi.
Katanya, operasi carian terus dijalankan kerana mengambil berat dengan hasil unit anjing pengesan.
Dalam pada itu, keputusan sama ada untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian runtuh dijangka ditentukan lewat hari ini selepas kajian terakhir Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bersama pasukan keselamatan mengesahkan tiada lagi mangsa yang tertimbus di kawasan tanah runtuh.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, berdasarkan siasatan sehingga kini, tiada laporan mengenai kehilangan anggota keluarga atau pekerja bagi 14 pemilik banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama yang ranap ditimbus tanah runtuh awal pagi semalam.
Bagaimanapun, pihak keselamatan akan menggunakan pelbagai cara, termasuk alat pengesan bagi memastikan tiada lagi mangsa tertimbus di bawah runtuhan sebelum menghentikan operasi mencari dan menyelamat, kata pada sidang akhbar kedua hari ini.
Khalid berkata, pihaknya bimbang wujudnya kemungkinan orang luar yang melalui kawasan itu semasa kejadian tanah runtuh 4 pagi semalam, terperangkap dalam runtuhan.
BERITA TERDAHULU
Sah! Tiada lagi mangsa tanah runtuh
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiada lagi mangsa terperangkap atau maut dalam tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang terjadi awal pagi semalam.
Dengan itu polis juga mengesahkan mangsa yang disasarkan dalam operasi sejak semalam dan disambung semula sebentar tadi selepas ditangguhkan kira-kira empat jam, "sebenarnya tidak wujud."
Bagaimanapun Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan.
"Hanya kerja-kerja berat sahaja dihentikan kerana tanah tidak stabil," kata beliau pada sidang media terbaru sebentar tadi.
Beliau menjelaskan, mangsa yang dilaporkan semalam sebenarnya "tidak wujud."
"Oleh itu kami percaya semua mangsa sama ada selamat atau tertimbus telah habis dikeluarkan.
"Siasatan juga dilakukan ke atas semua syarikat keselamatan dan mereka memaklumkan tiada staf keselamatan bekerja di kawasan itu hilang," katanya.
BERITA TERDAHULU
Operasi disambung selepas dihenti 4 jam
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa awal semalam, disambung semula selepas dihentikan selama hampir empat jam berikutan pergerakan tanah yang kuat pagi ini.
Operasi disambung semula sebentar selepas dihentikan kira-kira 6 pagi tadi.
"Operasi diteruskan semula pukul 9.30 pagi tadi.
"Tumpuan diberikan ke atas rumah No. 10 dan 14 kerana dipercayai (seorang) mangsa (lelaki) berada di kawasan berkenaan," kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Soiman Jahid.
Pukul 9 pagi tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata: "Pergerakan tanah berlaku kira-kira pukul 6 pagi tadi."
Beliau berkata, operasi akan disambung semula setelah mendapat kebenaran Institut Kementerian Kerja Raya Malaysia (Ikram).
Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat amat bergantung kepada alat pengesan mangsa bagi mengesan seorang lagi mangsa, dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan itu.
"Menyelamatkan nyawa mangsa adalah misi dan objektif polis.
"Walaupun terdapat percanggahan maklumat mengenai mangsa yang terperangkap itu semalam, polis masih berusaha membuat penyiasatan rapi sama ada masih ada mangsa atau tidak yang terlibat dalam runtuhan itu," katanya.
Identiti mangsa yang sebenar belum diketahui.
Malah kata beliau, usaha membina jambatan yang dihentikan semalam kerana beberapa masalah teknikal diteruskan pagi ini.
Jambatan sepanjang lima meter dibina untuk menghubungkan tapak operasi ke kawasan perumahan berdekatan.
Penduduk kawasan setempat buat masa kini terpaksa menggunakan paip besar sebagai laluan untuk menyeberang.
"Penghuni Pangsapuri Impian dan banglo berhampiran juga sudah mengosongkan rumah masing-masing," katanya.
Jumlah anggota pasukan mencari dan menyelamat masih kekal 500 orang sehingga pagi ini.
"Cukup dengan jumlah itu," katanya.
Kejadian tanah runtuh itu mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus, menyebabkan beratusratus orang terperangkap di kawasan Bukit Antarabangsa.
Khalid berkata, penduduk yang meninggalkan kediaman mereka tidak perlu berasa bimbang mengenai harta benda mereka kerana pasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan mengawal kediaman mereka 24 jam.
Beliau berkata, bantuan bekalan makanan turut dihulurkan kepada kirakira 20 penghuni yang masih enggan mengosongkan kediaman mereka.
Terdahulu Bernama melaporkan, pperasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa dengan menggunakan jengkaut diteruskan walaupun hujan renyai-renyai awal pagi ini.
Bilik operasi dan menyelamat, yang sebelum ini terletak 50 meter dari tempat kejadian, kini dipindahkan kirakira 400 meter daripada tempat itu kerana bimbang keadaan tanah yang masih kurang stabil.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku pukul 4 pagi semalam mengorbankan empat orang apabila 14 buah banglo di keduadua taman itu tertimbus.
Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Shaiful Khas Shahrudin, 20; Dr N. Yogeswari, 40; dan Eng Yee Peng, 30; dan warga Indonesia Surinah berusia 30an.
Yang masih hilang ialah seorang lelaki dewasa yang identitinya belum dikenal pasti.
No comments:
Post a Comment