06 December, 2008

Pokok tumbang dan bunyi menakutkan

Lihat tanah berapi




runtuh yang dirakamkan oleh PDRM." title="MUSNAH...pemandangan dari udara lokasi kejadian tanah
runtuh yang dirakamkan oleh PDRM." border="0" height="210" width="300">
MUSNAH...pemandangan dari udara lokasi kejadian tanah
runtuh yang dirakamkan oleh PDRM.

HULU KLANG: Melihat tanah berapi, rumah menindih rumah dan kenderaan tersangkut di atas rumah antara pengalaman mengerikan dilalui Azuren Suci Hassan, 16.

Azuren antara mangsa kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, di sini, semalam.

Menurut Azuren, ketika kejadian, dia bersama sembilan lagi ahli keluarganya hanya mampu bertakbir dan menyerahkan nasib mereka kepada Allah SWT.

“Tanah yang runtuh seperti berapi kerana geselan batu, manakala bunyi yang terhasil sangat menakutkan. Saya lihat rumah naik atas rumah dan kenderaan tersangkut di atas rumah.




“Kami 10 beranak berpegangan tangan antara satu sama lain dalam keadaan gelap gelita. Kami hanya bertawakal dengan nasib yang bakal diterima,” katanya.

Azuren berkata, dalam keadaan panik, mereka melarikan diri dan bersyukur tiada kejadian tidak diingini berlaku terhadap keluarganya.

“Saya berkaki ayam melarikan diri. Alhamdulillah, kami masih bernyawa, bagaimanapun saya masih terngiang-ngiang kejadian ngeri itu,” katanya.

Dalam pada itu, bapa Azuren, Hassan Saad, 49, berkata kejadian pokok tumbang di belakang rumahnya pada 22 dan 23 Oktober lalu bagaikan menjadi petanda kepada tragedi berkenaan.

“Lima batang pokok besar tumbang pada jam 7 malam 22 Oktober dan tiga lagi tumbang pada jam 7 pagi keesokan harinya.

“Saya mengesyaki ada pergerakan air di bawah tanah, tetapi Wakil Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang datang membuat pemeriksaan beritahu semuanya okey,” katanya.

Menurut Hassan, isterinya mengakui berasa tidak sedap hati beberapa jam sebelum kejadian berkenaan.

“Kerana tidak sedap hati, isteri mengejutkan saya. Memang malam itu kami tidak tidur. Kira-kira jam 4 pagi, saya mendengar bunyi seperti ribut dan diikuti dengan bunyi letupan. Semuanya berlaku dalam tempoh tidak sampai lima minit.

“Saya terus menjerit membangunkan 10 ahli keluarga saya, termasuk lima anak, ibu mentua dan dua sepupunya supaya menyelamatkan diri,” katanya yang mendiami rumah berkenaan sejak 2000.

Rumah ahli perniagaan yang bernilai RM2 juta itu tidak ranap sepenuhnya, sebaliknya hanya bahagian bilik tingkat atas rosak teruk.

Sementara itu, Jasmiah Abd Mutalib, 56, berkata sebelum kejadian, dia mengakui sukar untuk tidur dan rupa-rupanya itu petanda ada kejadian tidak diingini bakal berlaku.

Katanya, walaupun kediamannya tidak terjejas, dia mengakui berdepan pengalaman menakutkan berikutan terlalu hampir dengan tempat kejadian.

“Saya sangat takut. Ketika kejadian, suasana gelap gelita dan saya hanya mampu mendengar bunyi menakutkan.

“Saya dan suami, Abdul Manaf Hassan, 69, keluar dari rumah dan berlari sejauh 100 meter untuk menyelamatkan diri. Ini kejadian yang tidak disangka selepas 10 tahun mendiaminya,” katanya.

No comments: