Oleh Suffian A Bakar
suffian@bharian.com.my
KERJASAMA Mitsubishi dan Proton menambah baik mutu binaan dan komponen kereta nasional. |
Kerjasama hasilkan model baru, tingkat mutu pengeluaran
PROTON Holdings Bhd mengumumkan sudah memeterai perjanjian bagi menjalinkan pakatan strategik dengan Mitsubishi Motors Corporation (MMC) dari Jepun bagi tujuan membangunkan model kenderaan baru, meningkatkan mutu kenderaan keluarannya serta bekerjasama meneroka pasaran eksport.
Ia susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-duanya pada Februari 2006 bagi tujuan menjalankan kajian daya maju ke arah menjalinkan kerjasama berkenaan.
Kajian daya maju itu diselesaikan kedua-duanya pada Februari tahun lalu.
Pengeluar kereta nasional itu dalam kenyataannya semalam berkata, anak syarikat milik penuhnya, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) memeterai tiga perjanjian dengan pengeluar kereta Jepun itu, yang juga bekas pemegang sahamnya.
Katanya, di bawah perjanjian pertama, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pembangunan model kenderaan baru untuk Proton berdasarkan perincian kerja, spesifikasi sasaran, perkongsian kerja dan jadual masa ditetapkan kedua-duanya.
Perjanjian kedua pula, katanya, membabitkan pemberian lesen oleh Mitsubishi Motors kepada Proton bagi menggunakan bantuan teknikal dan paten reka bentuk semula, mengubah suai dan menambah baik model tertentu kenderaannya yang dipasang dan dipasarkan Proton menggunakan jenamanya.
"Pelesenan itu turut merangkumi pengeluaran komponen tempatan serta sokongan dan perkhidmatan selepas jualan bagi kenderaan berkenaan," katanya.
Proton berkata, perjanjian ketiga pula membabitkan perkhidmatan kejuruteraan yang mana Mitsubishi Motors akan menyediakan kepadanya kerja dan perkhidmatan untuk pengeluaran kenderaan yang akan dikeluarkan secara lesen serta model baru Proton yang dibangunkan.
Selain ketiga-tiga perjanjian itu, pengeluar kereta nasional itu berkata, anak syarikatnya dan MMC turut memeterai persefahaman merangkumi inisiatif kedua-dua pihak bagi menambah baik mutu binaan dan komponen kenderaan Proton.
Mitsubishi Motors adalah rakan teknikal dan pemegang saham Proton ketika ia ditubuhkan pada 1983 sehinggalah pengeluar kereta nasional itu mengeluarkan kereta pertamanya pada 1985.
Bagaimanapun, kemelut kewangan kumpulan itu menyebabkan ia melupuskan 7.9 peratus kepentingannya dalam Proton pada awal 2004.
No comments:
Post a Comment