Oleh Caroline Jackson
KUCHING, 5 Dis (Bernama) -- Adakah penafian spekulasi Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib bahawa Sarawak mungkin mengadakan pilihan raya negeri lebih awal pada tahun depan, melemahkan perancangan cita-cita Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk merampas negeri ini yang kaya dengan sumber-sumber?
Bertentangan dengan cakap-cakap pembangkang dalam beberapa minggu baru-baru ini bahawa pilihan raya negeri dijangka diadakan pada suku kedua tahun depan, pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu berkata keadaan ekonomi yang tidak menentu bukanlah masanya untuk mengadakan pilihan raya yang tamat tempoh penggal pada 2011.
"Jika ada sesiapa yang mula adakan formula sendiri, mungkin beliau itu tidak tahu ekonomi," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu lepas.
Dengan jentera pilihan raya yang besar-besaran, BN Sarawak sudah pasti bersiap sedia menghadapi sebarang cabaran, terutamanya untuk menangkis mana-mana ancaman daripada PKR, memandangkan rekodnya sebagai negeri tradisi kubu kuat BN, dengan memenangi 30 daripada 31 kerusi parlimen pada pilihan raya umum, 8 Mac lepas.
"Tidak timbul persoalan kini bahawa pilihan raya negeri akan diadakan lebih awal yang membayangkan bahawa BN tidak akan terperangkap kerana tidak bersedia, kata seorang pemerhati politik memberitahu Bernama.
Bagaimanapun, ada kemungkinan keadaan ekonomi ini bertambah buruk dalam masa setahun atau dua tahun dan penduduk luar bandar, khasnya sudah tentu akan terjejas, kata beliau.
Beliau memberikan alasan bahawa tempoh yang panjang untuk pilihan raya negeri akan membantu PKR mengukuhkan kekudukannya dengan memainkan sentimen, terutamanya di kalangan kaum Dayak, masyarakat yang berdasarkan luar bandar ini kian dipinggirkan oleh kerajaan.
"Kini ramai orang Dayak susah dan tidak setuju dengan kerajaan terutamanya mengenai tanah hak adat orang asli (NCR), dengan beberapa kes dibawa ke mahkamah, kata beliau sambil menambah bahawa nampaknya orang ramai (luar bandar) mahukan satu perubahan, termasuk isu berkaitan dasar tanah.
Dengan kenyataan beberapa pemimpin PKR termasuk penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa parti itu yakin merampas Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang, katanya ini bukanlah satu kejutan kerana ia telah mula "menyerang" kawasan pilihan raya yang majoriti pendudukannya kaum Dayak.
Dan jika ramai intelektual muda kaum Dayak menghadiri Kongres Nasional PKR tahunan di Shah Alam Sabtu lepas serta peratus sokongan daripada orang Melayu kepada BN telah menurun, adalah satu petunjuk, katanya sebagai mengulas kehadiran PKR di Sarawak yang agak besar.
Sudah tentu BN yang memerintah mengkaji implikasi ini, dalam aspek sokongan popular daripada akar umbi yang dinikmati oleh anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Gabriel Adit, yang baru menyertai PKR, telah menyerahkan lebih 11,753 borang permohonan di Sibu pada 15 Nov lepas.
Dengan kemasukan Adit dalam Pakatan Rakyat, PKR kini mempunyai dua orang ADUN termasuk ADUN Padungan, Dominique Ng, di Dewan Undangan Negeri Sarawak yang mempunyai 71 kerusi.
Tetapi sama ada keadaan ini tidak berubah dan dengan peneriman di kalangan orang ramai boleh digunakan sebagai ukuran untuk menjadikan Sarawak sebagai medan perang pada pilihan raya akan datang menjadi satu ujian, terutamanya dengan kredibiliti Anwar sebagai seorang pemimpin nasional masih lagi dipersoalkan.
"Kredibiliti Anwar bukanlah tinggi apabila beliau mengatakan 16 Sept adalah tarikh sasarannya yang dijanjikan untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru," kata Taib yang dilaporkan berkata pada Ahad lepas.
Pada pilihan raya negeri Mei 2006, empat anggota campur BN negeri - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai tulang belakanganya, memenangi 35 kerusi, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) (11), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS), kedua-duanya memperoleh lapan kerusi.
Pembangkang DAP memenangi enam kerusi, Parti Nasional Sarawak (satu), PKR (satu) sementara Adit, satu-satunya calon bebas yang menang satu kerusi.
-- BERNAMA
05 December, 2008
Sarawak Tidak Adakan Pilihan Raya Negeri Lebih Awal, Melemahkan Perancangan PKR?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment